Sunday, April 20, 2008

BUKIT GARAM ~ DULU, KINI DAN SEKARANG

Ketika saya melangkah kaki meninggalkan Bukit Garam pada 8 Januari 1971 untuk melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Maktab Sabah Kota Kinabalu, kampung tersebut baru sahaja selesai melepasi proses awal penerokaan oleh penduduk Kg. Kopungit dan Lamag, pusat pentadbiran daerah Kinabatangan era 50an hingga awal 70an. Penerokaan Bukit Garam pada waktu itu disebabkan Kg. Kopungit sering dilanda banjir ketika musim tengkujuh. Maklum sahajalah banjir di sungai Kinabatangan paling singkatpun dalam tempoh 4 hari hingga seminggu. Keadaan ini menyebabkan para penduduk kampung yang rata-ratanya Orang Sungai hilang punca bekalan makanan seperti ladang padi huma, pisang, ubi kayu, ubi rambat serta pokok tanaman lain (Wow, bercakap mengenai musim menanam padi di Kinabatangan memang seronok. Jika diizinkan Allah saya ingin bicara mengenainya satu hari nanti dalam laman ini, terutama cara penanamam padi mengikut kaedah tanam pindah-randah atau shifting cultivation).
Cakap-cakap mengenai mahu pindah ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat sudah lama saya dengar. Orang kampung bercakap mengenainya semasa mikayou atau bertandang ke rumah jiran dan saudara mara. Orang Sungai paling rajin mengadakan majlis kenduri. Kenduri arwah, kenduri kesyukuran dan doa selamat, selain kenduri kahwin. Di majlis-majlis begini jugalah cakap-cakap pasal mahu pindah semakin serius dan lantang. Orang yang paling banyak dijadikan rujukan pendapat sudah tentulah arwah datuk saya selaku ketua kampung tetapi penduduk kampung biasa memanggilnya dengan nama Orang Tua Sani Kanias, Imam Sangi, Imam kampung yang sangat disegani dan disayangi orang kampung dan juga pakcik Jahari Akhbar (Beliau kalau tak silap saya sama ada kerani tanah atau kerani pendaftaran di pejabat daerah Lamag)
Lokasi yang mereka kenal pasti ialah Bukit Garam, iaitu kira-kira 2 tanjung atau lebih-kurang 4 kilometer menghala ke hilir sungai Kinabatangan. Orang kampung sudahpun meninjau kawasan tersebut sehingga 10 kilometer ke dalam dari tebing sungai tersebut. Saya pernah mengikuti arwah ayah bersama penduduk lain meninjau kawasan tersebut yang penuh dengan pacat, duri, denai dan hutan tebal. Saya berasa rimas dengan keadaan itu. Kata arwah ayah saya, tempat itu dahulunya ialah kawasan kem kayu balak. Tidak hairanlah mengapa terdapat rel-rel semacam rel keretapi, tetapi bersaiz lebih kecil. (montek ialah semacam keretapi tetapi ia digunakan untuk mengangkut kayu balak yang telah ditebang).
Arwah datuk saya diberi tanggungjawab membawa perkara itu kepada pengetahunan wakil rakyat Kinabatangan pada waktu itu, iaitu Allahyarham Dato Pengiran Galpam Pengiran Indar. Tetapi peranan untuk berbincang itu diserah kepada arwah ayah saya yang lebih rapat kepada Allahyarham Dato Pengiran Galpam. Pemimpin itu mesra memanggil arwah ayah saya dengan nama Tawkil. Selain arwah ayah saya, harapan untuk membuat rayuan juga disandar kepada arwah pakcik Jahari Akhbar. Beliau ini agak serius orangnya berbanding arwah ayah saya yang ada sense of humor. Saya beruntung kerana sejak peringkat kanak-kanak lagi telah terdedah kepada pergaulan dengan orang-orang besar (setidak-tidaknya pada peringkat para pemimpin setempat). Saya tidak tahu mengapa arwah ayah suka membawa saya pada hampir setiap pertemuannya dengan orang-orang besar terutama ketika pertemuan tidak formal. Dan dari situlah saya mendengar semua perbualan mereka mengenai hal-hal mahu pindah ke Bukit Garam yang saya anggap pada waktu itu hanya sesuai untuk jin tinggal.
Kalau tidak silap, pertama kali saya mendengar perkara itu disentuh ialah semasa Allahyarham Dato Pengiran Galpam mengajak arwah ayah saya merambat dan memukat di Danau Tanjung Bulat, disebelah hilir berhampiran Bukit Garam. Kata Allahyarham Dato Pengiran Galpam, Bukit Garam ialah tanah kerajaan dan mempunyai aset kayu balak yang mahal harganya dipasaran. Beliau tidak menyatakan sama ada setuju atau sebaliknya. Pertemuan seterusnya yang turut melibatkan arwah datuk saya dan arwah pakcik Jahari Akhbar ialah di berenda kedai runcit taukeh Tai Foh. Entah apa keputusannya pada waktu itu saya tidak jelas, kerana kanak-kanak tetap kanak-kanak. Saya lebih minat kepada perkara yang boleh menghiburkan hati saya sebagai seorang kanak-kanak.! Tetapi, hasrat tersebut ditentang keras oleh seorang Ketua Anak Negeri hulu Kinabatangan (saya tidak menyebut namanya disini sebagai menghormati beliau yang kini telahpun tiada dan secara kebetulan ada kaitan keluarga dengan saya). Beliau kebetulan hadir pada perjumpaan hari itu. KAN di Kinabatangan biasanya akan digelar Orang Kaya-Kaya Panglima. OKK Panglima itu dengan sinis berkata kepada arwah ayah saya "Kalau kau boleh dapat Bukit Garam kau potong jari saya."
Saya memahami mengapa beliau tidak bersetuju. Sebab kalau Bukit Garam berjaya dijadikan sebagai kawasan penempatan perkampungan baru, ada kemungkinan pusat pentadbiran daerah Kinabatangan akan turut berpindah. Mereka lebih suka status quo nya begitu. Sebab, pada pada waktu itu terdapat keinginan sesetengah orang agar pusat pentadbiran daerah Kinabatangan di Lamag dipindah ke kawasan mereka. Misalnya Sukau dan Kuamut. Jadi lojiknya, kalau Lamag terus meneraju pentadbiran daerah, sekurang-kurangnya salah satu dari kampung tersebutpun kempunan untuk 'memilikinya'. Tetapi, sememangnya Lamag atau Bukit Garam adalah lebih sesuai kerana ia berada pada kedudukan ditengah-tengah antara hulu dan hilir Kinabatangan. Kalau di Sukau terlalu jauh untuk orang Hulu. Begitu juga kalau di Kuamut sudah tentu terlalu jauh untuk orang di hilir berurusan dengan jabatan kerajaan terutama pejabat daerah.
Penduduk Kg. Kopungit dan Lamag sudah hilang sabar. Lama menunggu tanpa sebarang keputusan dari pihak kerajaan mahupun Allahyarham Dato Pengiran Galpam. Penduduk kampung berpakat sebulat suara menentukan hari untuk menebang kayu dan menebas rumput dan semak-samun yang bukan alang-kepalang. Bagi seorang kanak-kanak seperti saya waktu itu, kerja tersebut yang dibuat secara gotong-royong adalah satu kerja menggunung yang sukar dilakukan. Penduduk kampung menyediakan tenaga kerja. Taukeh Tai Foh menyediakan kapal mengangkut peralatan dan orang kampung. Sementara Taukeh Sing Hong menyediakan bekalan makan-minum serta peralatan seperti parang dan kapak. Arwah ayah saya memilik mesin pemotong kayu balak atau chainshaw. Saya tidak lupa bagaimana ketika orang kampung sebuk menebang kayu balak dan membersihkan semak-samun, penguatkuasa Jabatan Perhutanan mengarah orang kampung menghentikan kerja-kerja tersebut dan memberi amarah mengheret mereke ke mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara (mungkin ia sekadar gertakan Wallahualam). Bagaimana pun orang-orang kampung tidak mengendahkannya kerana jelas kepada mereka bahawa kayu balak yang mereka tebang itu bukan untuk dijual bagi mengaut keuntungan kewangan peribadi, tetapi untuk survival mereka secara berkelompok. Mereka sanggup untuk dipenjara secara beramai-ramai kalau itu mesti berlaku.
Penempatan pertama peneroka baru Bukit Garam ialah apa yang dikenali kini sebagai Kg. Pengkalan Bukit Garam dan Kg. Danau Ria. Masih disekitar pinggir sungai Kinabatangan. Tiga minggu selepas kerja-kerja menebang dan membersihkan kawasan kampung yang dirancang itu selesai barulah proses membakar menyusul. Masih jelas diingatan saya, pokok-pokok dan semak-samun yang telah kering dimamah api. Saya berdiri disalah sebuah bukit melihat lautan api seolah-olah menggambarkan betapa begitulah sebenarnya semangat membara orang-orang kampung mahu 'berhijrah' mencari satu penghidupan baru yang lebih baik. Proses mengagih lot penempatan setiap keluarga telah dbuat lebih awal daripada itu termasuk lot masjid dan balai raya.
Memang kehidupan pada waktu itu cukup susah dan memeritkan. Tiada bekalan elektrik, tiada jalanraya dan sumber air diambil sama ada terus dari sungai Kinabatangan atau melalui satu telaga air yang dikorek beramai-ramai berhampiran masjid kampung. Bagi Kg. Danau Ria, air sungai danau itulah tempat mereka membasuh, mandi dan makan minum. Namun, penduduk kampung terus hidup dalam suasana rukun dan damai serta bahagia dengan apa yang ada dan apa yang mereka inginkan sudahpun tercapai. Apa yang orang lain fikir terpulanglah.
Seingat saya, setahun selepas itu ramai penduduk dari beberapa kampung berdekatan, terutama dari hulu Kinabatangan berpindah ke Bukit Garam. Ia termasuklah pemimpin tempatan yang saya katakan menentang ide tersebut. Antaranya dari Kg. Pintasan, Kg. Kuamut. Kg. Tomui, Kg. Sabangan dan Tongod. Hikmah penghijrahan itu rupanya tak dapat tiada terpaksa juga diterima oleh mereka yang sebelum itu amat menentang keras. Allahyarham Dato Pengiran Galpam yang sebelum itu mengambil sikap membisu mengenai langkah itu, akhirnya memberi pengiktirafan dengan mencadangkan agar Bukit Garam dijadikan sebagai lokasi penenaman padi secara besar-besaran melalui Lembaga Padi Sabah. Boleh dikatakan bermula dari situ Bukit Garam terus berkembang perlahan tetapi berterusan. Jalanrayapun mula dibina bagi menghubungkan antara Bukit Garam dan bandar Sandakan.
Kini, setelah beberapa dekad berlalu, Bukit Garam sudah jauh lebih maju. Kalau dulu orang kampung terpaksa berulang-alik ke bandar Sandakan beberapa hari melalui sungai Kinabatangan, kini Bukit Garam boleh dihubungi dengan jalanraya bertar ke bandar itu dan juga ke Lahad Datu, Semporna dan Tawau. Bukit Garam kini adalah sebahagian daripada rangkaian lebuhraya Barat dan Timur Sabah. Malah, sekarang ini hampir semua kampung sekitar kawasan Bukit Garam boleh dihubungi dengan jalan-jalanraya yang tidak pernah diimpikan sebelum itu (Dalam Bukit Garam itu sendiri kini terdapat beberapa kampung kecil dengan bermacam-macam nama yang saya sendiripun sukar mengingatinya. Agaknya mungkin sudah semakin dimamah usia, daya ingatanpun sudah kurang jelas atau kerana jarang balik kampung). Api elektrik, bekalan air bersih dan juga telefon juga sudah disediakan oleh kerajaan.
Bahkan pada masa ini, Bukit Garam juga sudah mempunyai 2 buah sekolah menangah yang sama tarafnya dengan apa yang terdapat di Kota Kinabalu, dua sekolah rendah, disamping sebuah masjid daerah baru tersergam indah di atas bukit lebih besar dan cantik yang diapit dibawahnya sebuah bangunan pusat pentadbiran daerah disebelah kiri dan hospital serba modern disebelah kanan serta bangunan pejabat majlis daerah disebelah belakang. Pekan kecil berhampiran bangunan ibu pejabat polis daerah yang memberi ruang kepada penduduk menjual dan membeli keperluan harian masing-masing pun sudah ada. Projek perumahan dan sebuah pekan baru juga sudah mula tumbuh di Bukit Garam.
Andaian saya dahulu semasa mengikuti arwah ayah membuat tinjauan terhadap Bukit Garam semasa zaman hutan rimba dahulu ternyata meleset. Bukit Garam hutan rimba yang saya anggap hanya sekadar sesuai dihuni puak jin, rupanya kini perkampungan besar dan pekan kecil yang agak lengkap dengan prasarana modern. Kalau dahulu, Bukit Garam sekadar sebuah kampung kecil dimana para penduduknya menyara hidup hasil pendapatan dari sungai Kinabatangan dan makanan hasil dari hutan, kini penduduk mampu merubah cara hidup mereka jauh lebih baik dari sebelumnya melalui hasil penanaman kelapa sawit yang mencecah ribuan ringgit dalam sebulan. Kemakmuran itu menyebabkan ramai yang mampu 'makan angin' ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur (mungkin juga ke London, siapa tau). Paling tidak sebahagian mereka sudahpun mampu mengakses internet, memiliki set astro, set karaoke, sebuah kereta dan sebuah rumah. Sebab itu saya katakan kepada kawan-kawan di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, jangan ingat orang-orang Sungai di Bukit Garam masih seperti dahulu yang masih terkongkong diruang kerangka kepompong pemikiran yang kolot seperti dahulu. Mereka tidak lagi bercakap soal di hutan mana ada payau dan pelandok untuk ditembak dan di lubuk mana ada ikan lais, limpata, bungkok, luot, matulang, sopong dan tawi yang banyak untuk dirambat dan dipukat. Makna kata 'jangan pandang belakang' lagi keupayaan mereka berfikir.
Mungkin banyak lagi perkara yang tidak sempat saya catat disini terutama mengenai pembangunan yang dilakar Bukit Garam dari dahulu hingga sekarang. Tetapi, yang jelas ialah kalau dahulu Bukit Garam hanya didiami oleh sebilangan kecil suku kaum Orang Sungai, beberapa kerat orang Cina dan orang Melayu asal Semenanjung yang berpindah dari Kg. Kopungit dan Lamag, sekarang jumlah itu bertambah kepada ribuan orang dari pelbagai suku kaum seperti, suluk, bugis, dusun, bajau dan lain-lain etnik Orang Sungai sepanjang sungai Kinabatangan. Itulah kata orang, dimana ada gula disitu ada semut (tapi janganlah pula mati hanya kerana gula.!)
Mengimbau kembali sepanjang jalan kenangan sejarah ringkas kewujudan Bukit Garam yang terus menjadi pusat pentadbiran daerah Kinabatangan, banyak juga persoalan yang perlu dilontarkan buat renungan semua, termasuk saya dan Anak-Anak Sungai Kinabatangan (ASK) Bukit Garam yang kini duduk jauh dari kampung halaman seperti saya. Misalnya, sejauh mana penduduk-penduduk asal Bukit Garam mendapat manfaat hasil daripada penghijrahan dan pembangunan yang berlaku.? Atau barangkali persoalannya diterbalikkan begini; Sejauh mana penduduk-penduduk asal Bukit Garam mengambil kesempatan dari perubahan dan peluang yang terbentang luas sejak dahulu hingga sekarang.? Adakah kita sekadar pemerhati sahaja kepada yang berlaku disekeliling kita.? Bagaimana dengan masalah sosial sebagai impak daripada pembangunan sekarang.? Sejauh mana kita dapat mengekalkan budaya bertolong bantu yang menjadi amalan nenek moyang kita sebelum ini.? Adakah penduduk Bukit Garam dan Orang Sungai mendapat keutamaan dalam pengagihan lot tanah dan dalam peluang perniagaan.? Dan yang agak sensetif barangkali ialah 'Bila agaknya una' Orang Sungai berpeluang menjadi YB, kerana sejak zaman Allahyarham Dato Pengiran Galpam, semua YB adalah dikalangan Yu' Orang Sungai.?
Secara peribadi saya agak terkilan DUN hilir sungai Kinabatangan dinamakan DUN Sukau. Selama ini saya sering tertanya-tanya, siapa yang mencetuskan ide menamakan DUN hilir Kinabatangan dengan nama Kg. Sukau.? Hanya sejak akhir-akhir ini barulah Kg. Sukau mendapat perhatian dunia disebabkan oleh aktiviti eco-tourism. Untuk DUN di hulu sungai Kinabatangan memang wajar ia mengambil sempena nama Kg. Kuamut. Ini kerana, selain Lamag, Kg. Kuamut bolehlah dikatakan agak maju sedikit berbanding kampung-kampung lain. Pada tahun 60an satu-satunya lapanganterbangan yang terdapat di Kinabatangan ialah di Kg. Kuamut.
Bagi saya, Bukit Garam atau Lamag adalah lebih justified jika mengambil kira beberapa perkara. Pertama, kerana Bukit Garam ialah pusat pentadbiran daerah. Kedua, ialah kerana jika dibanding kampung-kampung lain, Bukit Garam ialah kampung terbesar dan agak berbilang kaum. Ketiga, lebih maju yang boleh diambil contoh kampung-kampung lain. Boleh dikatakan hampir semua urusan penting di daerah Kinabatangan ialah di Bukit Garam. Dan sekiranya mengambil sempena Lamag, pun agak lojik juga. Sebab, Lamag ialah pusat pentadbiran daerah yang pertama di daerah Kinabatangan. Ia mempunyai nilai estatika kepada penduduk sungai Kinabatangan. Tanpa prejudis, pandangan ini hanyalah semata-mata berdasarkan merit. Saya SK Bukit Garam dan persatuan yang ada kaitan dengan orang-orang sungai asal Kinabatangan boleh mengemukakan cadangan ini. Saya juga berharap satu hari nanti jalan-jalan dan lorong-lorong di sekitar Bukit Garam mengambil sempena nama-nama peneroka asal Bukit Garam. Jasa, keringat, darah dan airmata mereka harus juga dikenang dan diingati oleh generasi sekarang dan selepas itu. Izinkan saya mencatat beberapa nama peneroka asal Bukit Garam yang masih segar dalam ingatan saya. Seandainya ada nama-nama yang tercicir harap dapat dimaklumkan kepada saya. Insya-Allah kalau anda sebut sahaja nama-nama itu pasti saya dapat mengingatinya semula, sebab saya adalah sebahagian daripada sejarah itu. Nama-nama berikut tidak termasuk nama isteri dan anak-anak lelaki dan perempuan mereka yang turut bersama meneroja Bukit Garam sebagai satu penempatan.
PENEROKA ASAL BUKIT GARAM
01.KK Hj Sani Kanias
02.Hassan Hj Sani
03.Basar Gunsanad
04.Jalil Gunsanad
05.Jahari Akhbar
06.Sh. Abd. Aziz Sh. Mohammad
07.Ustaz Baitul Makmur
08.Hj.Jamil Adari
09.Arsah Adari
10.Jikrun Tarid
11. Tai Foh
12. Sing Hong
13.Armin Arpah
14.Rakim Arpah
15.Imam Sangi
16.Sagilit
17.Asnawi Taadi
18.Tarwan
19.Berahim Gungurud
20.Daud
21.Kumin Sagilit
22.Gumbina
23.Kadir Sumbuan
24.Maulah Hj. Ibau
25.Basri Hj. Sani
26.Dollah
27.Gapur
28.Sabani Tarid
29.Abdul Karim
30.Mandul
31.Mursidi Lias
32. Hj. Ayob Ibau
33.Dato Alun
34.Lumandung
35.Aki Joh
36.Sahak Joh
36.Sahak
37.Arud

No comments: