Monday, April 28, 2008

BAGAIMANA CATS (MEOWW) BERMULA, SEJARAH, OBJEKTIF & VISINYA


Ketika menyerahkan kertas cadangan menerbitkan rancangan baru Carta Artis Tempatan Sabah atau ringkasnya CATS kepada Pengawal Unit Hiburan dan Muzik, RTM Sabah, Baharudzaman Hj. Ampon, perbagai perkara yang bermain dikotak fikiran saya. Apatah lagi Baharuzaman bukan calang-calang orang. Dia yang sangat berpengalaman dalam bidang muzik dan penerbitan rancangan radio khususnya hiburan.

Risau juga dihati saya ketika itu, apakah mungkin CATS mampu bersaing dengan carta Hitz terbitan Sabahfm dikendalian oleh Ady Maldin (kini dikenali Ady Silantra di radio muzikfm). Tetapi saya tetap fokus kepada matlamat serta visi penerbitan rancangan itu selain percaya kepada keupayaan diri sendiri. Syukur juga Baharudzaman yang pada saya ‘bermulut kelupar suka lepas cakap” sebaliknya memberi dorongan bahawa tiada yang mustahil. Katanya, kenapa dia sanggup terima saya masuk ke unit hiburan dan muzik ialah kerana beliau percaya dengan kebolehan saya. Dia menganggap saya sebagai antara orang yang punya bakat dan daya kreativiti yang tinggi. Jadi CATS mula bersiaran pada 4 April 2005 selama 30 minit bermula pukul 10.15 minit pagi di saluran Sabahfm dengan 7 penyanyi bersaing setiap minggu.

Sebagai penyampai dan penerbit ‘ori’ yang mencetus idea itu terkapai-kapai juga memilih pada awalnya mengenai siapa sebenarnya yang layak dipanggil ‘artis’ untuk mengisi rancangan sulong pada hari itu. Yang pasti semua ‘artis’ yang terlibat mestilah orang Sabah atau mereka yang berasal dari Semenanjung dan Sarawak yang sudah bermastautin di Sabah tidak kurang dari 10 tahun dan sudah semestinya jiwa dan raganya sudah betul-betul jiwa ‘orang Sabah.’ Kualiti rakaman, vokal dan muzik pengiring juga wajib diambil kira. Saya bermula dengan beberapa penyanyi yang sering diundang mengisi pelbagai rancangan terbitan unit hiburan dan muzik. Antaranya ialah Yanie ( ke-3 mentor 2005 & Johan Bintang Karaoke RTM Sabah 2003), Zizie (Johan Gema Warisan 2003 & kemudian finalis dan peserta paling popular Bintang RTM 2005), Rubisa Tiasin (Johan Gema Warisan 2004 & finalis My-starz TV3), Black (Vokalis kumpulan Kidz), Ammath Assir, Ateq (Vokalis kumpulan Kidz) dan Setianor Osman (Ke-3 Bintang RTM Sabah 2003). Tiada penyanyi yang punya album dicalonkan kerana pada waktu itu networking saya dengan artis-artis Sabah diluar sana yang ada album masih longgar. Bukan senang mendapatkan begitu ramai penyanyi apatah lagi yang ada album untuk mengisi ruang CATS walaupun musim penyingkiran adalah secara dwi mingguan. Tujuh penyanyi bersaing setiap minggu. Pada minggu kedua, dua penyanyi tersingkir akan diganti pula oleh 2 calon baru.

Tetapi perancangan saya (seperti yang terkandung dalam kertas cadangan penerbitan CATS) ialah pertama; semua penyanyi yang menyertai CATS mestilah orang Sabah. Tujuannya ialah supaya mana-mana penyanyi Sabah yang tidak berpeluang masuk carta Hitz atau carta lagu yang disiarkan oleh saluran radio peringkat nasional berpeluang memperaga bakat dan populariti mereka di negeri ini melalui CATS. Kedua; ialah supaya bakat-bakat pencipta lagu dan menulis lirik serta penggubah muzik di negeri ini berpeluang menunjukkan bakat masing-masing.

Pada pertengahan tahun 2005 saya sudah mula mendapat respon dari beberapa penyanyi dan syarikat-syarikat tempatan yang mahu menghantar pencalonan mereka dalam CATS. Kira-kira 50 peratus pada ketika itu sudahpun dikuasai oleh penyanyi yang mempunyai album Melayu. Malah sudah ada syarikat seperti skyline, Ampal Production dan SAY Music membuat rakaman album khas dalam bahasa Malaysia semata-mata untuk membolehkan mereka mencalonkan lagu dalam CATS. Transisi yang dibuat ke arah mencapai objektif sebenar serta impian dan juga cita-cita saya untuk CATS tidak dilakukan secara drastik dan terburu-buru. Ia ibarat melangkah satu persatu. Pendekatan itu memudahkan kerja saya dan memberi cukup ruang masa kepada mana-mana artis rakaman menyediakan album yang bermutu dari semua aspek.

Pada tahun berikutnya (2006) CATS mencapai objektif melebihi 60 peratus memuat lagu-lagu artis yang ada album sendiri. Antaranya Abu Bakar Ellah, Clarice John Matta, Atama, Ivye Alexandre Mohammed, Jas, As Bow, Lydia Kalidin, Auni Nabilla, Naufara dan ramai lagi. Sudah tentu bila album baru, lagu, lirik dan susunan muzik adalah semuanya made in Sabah. Begitu juga para pemuzik sudah semestinya dari Sabah negeri di bawah bayu. 40 peratus lagi adalah penyanyi yang pernah dilahirkan RTM Sabah.

Ada juga yang bertanya, apa jadi dengan penyanyi yang tiada album dan menyanyikan lagu penyanyi yang sudah sedia ada.? Sebenarnya, penyanyi asal, penulis lirik asal, pencipta asal dan semua yang asal-asal itu tiada mendapat apa-apa keuntungan melainkan lagu penyanyi asal mendapat promosi percuma. Tetapi penyanyi kita yang menyertai persaingan mingguan itulah yang lebih untung. Jika lebih ramai pendengar mengikuti siaran CATS, maka lebih ramai mengetahui penyanyi berkenaan. Dan dengan sendirinya lebih ruang untuk mereka mendapat jemputan menyanyi. Biasanya pendengar akan call saya bertanyakan nombor telefon mereka untuk dijemput membuat persembahan di majlis-majlis yang mereka adakan. Dan jika mereka berpeluang masuk ke acara kemuncak yang saya namakan Anugerah Juara CATS atau ringkasnya AJC pastinya peluangnya untuk membuat rakaman album semakin cerah. Atau setidak-tidaknya peluang beraksi di pentas AJC memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi baru menimba ilmu sebagai bekalan jika mereka berpeluang bersaing di pentas yang lebih besar dan glamor daripada Anugerah Juara Lagu, Muzik-Muzik dan Hitz1.

Memanglah AJC 2005 di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah tiada lagu-lagu baru sebab ia merupakan projek perintis. Tetapi ia telah melakar sejarah tersendiri. Kecuali rancangan terbitan RTM Angkasapuri yang diadakan di Sabah diiringi orkestra. Bagi RTM Sabah, AJC 2005 adalah yang pertama diiringi oleh orkestra terdiri daripada 80 pemuzik. Sejarah juga dilakar apabila semua juri yang dijemput adalah bertaraf profesional, ternama dan berpengalaman seperti Dato Johari Salleh, Ramli M.S dan Zainal Abidin. Kehadiran ramai artis-artis Sabah lama dan baru dalam satu-satu majlis seperti itu juga boleh dianggap sebagai satu sejarah. Jarang kita melihat begitu ramai artis, pemuzik dan penggiat seni negeri Sabah hadir pada satu majlis seperti itu.

Penganjuran AJC 2005 menempah satu sejarah apabila rakan artis mengumum dan menyampaikan trofi kemenangan kepada para pemenang dikalangan rakan artis finalis AJC 2005 . Ia seolah-olah satu acara penuh gemilang anugerah juara lagu tahunan versi Sabah sebagaimana yang biasa diadakan di Kuala Lumpur. Ada juga segelintir pegawai atasan RTM Sabah memperkecil kehadiran orang ramai pada malam itu. Yang teruknya ada yang berani berdusta mengatakan hanya lebih kurang 300 orang sahaja hadir pada malam itu Walhal ahli-ahli Kelab CATS dari Kota Belud, Beaufort, Tuaran, Kota Kinabalu, Sipitang dan Kundasang pun dah melebihi jumlah 300 orang. (Apa yang saya betul-betul tahu, Kelab CATS Kota Belud membawa 245 orang ahli, Beaufort 150, Kota Kinabalu 100, Kundasang 90, Tuaran 60 dan Sipitang 45 orang). Jemputan khas sahaja kira-kira 50 hadir. Rakan artis yang dijemput dan hadir ialah 20 orang. Rakan artis yang datang secara sukarela bersama keluarga kira-kira 100 orang. Ahli keluarga finalis AJC 2005 dan para pemuzik kira-kira 100 orang. Kakitangan RTM Sabah yang bertugas kira-kira 100 orang. Para pelajar dan staf UMS sekitar 300 orang. Dan penonton biasa dikalangan orang awam ialah sekitar 3-ribu orang. Secara kasar jumlah mininum hadir pada malam itu sekitar 4-ribu orang, tetapi oleh kerana ruang Dewan Canselor UMS terlalu besar, saiz penonton seperti itu kelihatan agak kosong. Tetapi bayangkan sekiranya AJC 2005 buat di Pantaran Mesra atau di Dewan Masyarakat.?

Cuma, kalau ada yang saya rasa agak terkilan pada penganjuran AJC 2005 ada 5 perkara. Perkara pertama ialah dari segi disiplin masa para pemuzik orkestra. time management mereka benar-benar ‘Janji Melayu.’. Ini termasuk dikalangan golongan yang berstatus pensyarah dan profesor universiti. Bila saya kata masa latihan bermula jam 2.00 petang, hampir ¾ akan hanya tiba jam 3.00 petang. Selebihnya akan datang jauh lebih lewat dari itu. Keadaan itu berlaku berulang-ulang kali dan menjejas perjalanan raptai yang turut melibatkan rakaman tv. Perkara yang ketiga ialah, perselisihan faham 2 profesor mengundang hilang rasa hormat saya kepada mereka. Seorang profesor (sebenarnya profesor madya) tanpa berbincang dengan dekan salah sebuah sekolah pengajian unversiti (disesetengah universiti dipanggil fakulti), apabila mempelawa beberapa pensyarah muzik menganggotai orkestra tersebut. Dekan sekolah itu pula tanpa adab-sopan menelefon saya tanpa salam terus sahaja mengerdik gara-gara pensyarah muzik diambil sebagai pemuzik tanpa minta keizinannya.

Dia yang mengerdek saya tanpa usul-periksa, saya pula dikatakan sebagai orang yang tidak beradab. Dia cuba lecture saya sambil quote kata-kata YB Dato Rais Yatim mengajar saya tentang apa itu tatatertib. Saya mencela membela integriti dan maruah diri dan mengatakan kepadanya “Prof engkau tak payah bersyarah pada saya tentang adab dan sopan. Saya bagi salampun prof tak jawab. Saya orang Islam dan prof pun orang Islam. Saya bukan nak dengar ceramah prof. Jangan nak ajar saya tentang adab dan sopan. Prof bukan dekan saya di universiti. Dekan dan pensyarah saya dahulu pun saya lawan kalau tak kena gaya, inikan pula prof yang tiada kena mengena dengan saya. Okey, saya nak satu jawapan je dari prof, benarkan atau tidak pensyarah-pensyarah awak sertai orkestra ni. Sebab Timbalan Naib Canselor dah tau semua ni. Kalau benarkan, saya keluarkan surat. Kalau tidak kita tutup cerita disini saja, show saya tak terjejaspun kalau mereka tak ada.” Akhirnya nada dan kata-katanya surut memberi kata persetujuan.

Perkara yang ketiga ialah mengenai pihak penaja Kopi Sabah, Panasonic dan kedai 2 ringgit tarik diri seminggu sebelum acara bermula. Bayangkan bagaimana kecewa dan paniknya saya waktu itu. Saya rugi dan kecewa. Tetapi ada pihak yang untung. Saya yang cari penaja, orang lain dapat peluang. (bukan untung rugi sebab duit masuk poket saya, tapi untung rugi melibatkan penajaan hadiah kepada para pemenang dan peserta AJC 2005).

Kemudian perkara keempat yang membuat saya agak terkilan ialah backdrop pengacara. Reka bentuk yang dibuat oleh pereka set RTM Sabah tidak ubah seperti backrop Bintang RTM peringkat negeri Sabah tahun 1974. Dan yang kelima; kelambatan menyiapkan skor muzik walaupun semua lagu-lagu yang dipertandingkan sudah dihantar dan diagih-agih kepada penggubah lagu (termasuk profesor madya yang saya sebutkan itu) kira-kira 2 bulan sebelum acara. Malah ada lagu yang masih belum siap walaupun pada masa itu latihan pesat sudah bermula. Kesihan ada finalis yang tidak dapat berlatih sebab lagunya tak siap-siap.

Apapun AJC 2005 adalah yang the best bagi saya. Lirik dan lagu tema Rentak Juara adalah hasil ciptaan saya. Ramai rakan-rakan artis beri pujian mengenai penganjuran AJC 2005. Sayangnya AJC 2006 di Kompleks Asia City, Kota Kinabalu bukan berkembang lebih gah dan glamor, tetapi semakin kuncup dan mengempis. Dari CATS kepada RATS (Rancangan Asal Taru Saja). Sudahlah backdrop yang tidak menarik langsung, jumlah hadiah pun dikurang dan disedikitkan. Dari sebuah orkestra kepada sebuah kombo yang biasa. Hilang seri dan hilang glamor. Kononnya kalau terlalu banyak hadiah bukan sahaja kos tinggi, tetapi juga membosankan kerana memakan masa terlalu panjang. Kalau boleh bermula pukul 8.00 malam dan berakhir pukul 9.30 malam.? Padahal, tempahan slot siaran langsung radio yang saya buat beberapa bulan sebelum itu ialah sehingga jam 10.30 malam menuruti kata-kata nasihat pengarah RTM supaya masa siaran jangan menjangkau lebih daripada 10.30 malam. Untuk makluman AJC 2006 tamat 7 minit sebelum jam 10.30 malam. Minta sponsor, ada pula yang takut saya sunglap semua duit-duit sponsor.? Entah darimana mereka dengar say ini tukang sunglap duit. Padahal saya dah jelaskan dari awal lagi semasa mesyuarat dan dalam kertas kerja cadangan pelaksanaan AJC, selaku penerbit saya hanya bertindak sebagai perantara mendapatkan persetujuan syarikat swasta. Segala perkara yang berlaku saya memaklumkan kepada pihak jabatan. Urusan selanjutnya sehinggalah pada saat penyampaian hadiah yang ditaja diurus secara langsung oleh pihak pengurusan jabatan dengan pihak syarikat yang penaja. Saya tiada kaitan langsung selepas itu. Saya tahu mengenai prosedur dan saya juga tidak mahu masuk lokap hanya kerana mengelapkan hadiah yang hanya sekadar beberapa puluh ribu ringgit untuk keuntungan peribadi yang masuk mulut keluar dubur.

Sebelum mengakhiri, ingin juga saya sentuh mengenai nama CATS dan apa yang dipertandingkan. Artis atau lagu.? Kenapa Carta ARTIS Tempatan Sabah dan bukan Carta LAGU Tempatan Sabah.? Saya memilih perkataan ARTIS dan bukan LAGU ialah kerana ARTIS itu ialah yang bertanding sebagai penyanyi. ARTIS itu ialah mereka yang mencipta lagu. ARTIS itu ialah mereka yang menulis lirik. ARTIS itu ialah yang menggubah muzik. ARTIS ialah kerana yang mengumum dan menyampaikan hadiah ialah juga dikalangan ARTIS.

Saya juga tidak menggunakan konsep memilih para pemenang kategori anugerah melalui undian sms. Kerana saya mahu pemenang-pemenangnya adalah hasil penilaian juri-juri profesional. Undian sms hanyalah pada kategori Anugerah Penyanyi Paling Popular. Sebab popular atau tidak seseorang penyanyi itu adalah 100 peratus bergantung kepada penilaian setiap pendengar dan penonton. Dalam masa yang sama ia juga sebagai menghargai sumbangan dan kerjasama semua pendengar khususnya dikalangan ahli kelab CATS dan para pengundi sms serta amnya dikalangan para pendengar CATS dan Sabahfm

Hasrat saya yang tidak kesampaian, ialah melihat pada tahun-tahun yang mendatang CATS berjaya diterbitkan setiap minggu dengan lagu-lagu baru 100 peratus ciptaan tempatan. Begitu juga semasa acara kemuncak AJC. Saya begitu mengidamkan bagaimana satu hari nanti dapat diwujudkan anugerah konsep album terbaik, anugerah susunan muzik terbaik, anugerah kulit album terbaik dan anugerah klip video terbaik yang mana semuanya diumum dan disampaikan oleh sesama artis. Saya begitu berharap agar pada waktu itu para penggerak industri muzik di semenanjung dapat melihat bagaimana Sabah juga mampu melakukan sesuatu yang lebih kurang sama dengan apa yang mereka telah lakukan di sana. Cuma sedikit gratitute barangkali ialah apabila Dato Johari Salleh, Ramli M.S mahupun Zainal Abidin kagum mengatakan tiada negeri lain (kecuali Kuala Lumpur) di Malaysia pernah buat seperti ini selain Sabah dan mengharapkan ia diterus dan ditambah-baik dari tahun ke tahun.

Saya bukanlah mendabik dada, tetapi pada saya ia satu kepuasan kerana sebelum ini tiada sesiapa yang pernah mencetus idea seperti itu. Dan kalau ada pun entah macam mana keadaann agaknya. Berani saya katakan acara akhir bagi semua carta lagu di pelbagai bahasa seperti dusun, kadazan, murut dan bajau mencontohi apa yang dibuat oleh CATS. Malah ada yang mengatakan AJC ibarat acara highlight kepada semua acara akhir carta-carta lagu tempatan di RTM Sabah. Walaupun hasrat, cita-cita dan impian saya itu tidak kesampaian, percayalah saya tidak akan mati dalam keadaan tidak menutup mata. Kerana orang sekerdil saya yang berasal dari nun juah dipelosok terpencil daerah Kinabatangan yang jauh lebih mundur berbanding daerah lain (setidak-tidaknya pada waktu kecil saya), saya mampu melakukan sesuatu yang barangkali jauh lebih baik dari sangkaan dan jangkaan orang lain. Bagi saya, saya tidak gagal. Yang gagal hanyalah apa yang sepatutnya boleh saya dicapai untuk CATS tetapi digagalkan oleh insan-insan yang deria rasanya tentang seni itu tidak berfungsi.

Akhir sekali, tidak lupa saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga, yang mana hanya dapat dibalas oleh Allah kepada para penggerak Kelab CATS diseluruh negeri Sabah, terutama, Nordin Matiasin, Azman, Mary Meida, Norlyn Laupo, Hamidun Itoh, Sihing, Rosli Atam, Kohadie Watiman dan Dr. Japiril serta ahli-ahli mereka. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan YB Datuk Japlin Akim, mantan pegawai daerah Kota Belud, Encik Idris Jakaria serta rakan-rakan sekerja saya, khususnya Lin Wunfu Silas yang banyak membantu saya dari segi penyediaan minus-one, rakaman dan imbangan muzik. Kerana itu beliau menjadi rakan yang amat karib bagi saya sehingga saat ini. Juga tidak lupa saya titipkan ucapan terima kasih saya kepada rakan wartawan Boyd dan Sailah di The Daily Express yang sering memberi promosi kepada CATS dari awal hingga kini. Ini termasuklah penyediaan ruang mengenai kedudukan artis dalam carta di sudut hiburan ruangan bahasa Melayu akhbar itu.

Rakan-rakan artis yang banyak memberi bantuan dan kata-kata perangsang yang sudah tentu tidak saya lupakan ialah Asmin Mudin, Matt Angkie, Abu Bakar Ellah, Ammath Assir, Ramli Ahmad, Jasni, Den Bisa, Sam dan juga Mr. K.C Seah dari Skylaser. Terima Kasih kepada anda semua. Seandainya anda ingin memberi sebarang respon dalam bentuk pertanyaan, komen dan kritikan serta pandangan, sila poskan di blog ini atau hantarkan sahaja ke alamat email saya midriver_ahh@yahoo.com.my. Sampai disini dulu… Jumpa lagi..

No comments: