
Kota Kinabalu : 4 Mei 2008 kira-kira pukul 6.00 petang, ribut kencang merosakkan lebih 7 buah rumah penduduk disekitar kawasan Batu 8, Bukit Garam, Kinabatangan. Antara yang terjejas ialah rumah ibu serta adik saya. Bumbung rumah mereka diterbangkan angin dan pada malam itu terpaksalah mereka bermalam dibawah limpahan air hujan yang dingin. Sejak hari itu sehinggalah pada saat saya menulis dalam blog ini, belum ada sekerat zink atau seinci paku pun dihulurkan oleh pihak kerajaan. Jauh sekali bantuan keperluan lain dari mana-mana jabatan dan agensi kerajaan mahupun pihak swasta
Entah dimana lagi hendak saya luahkan rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati ini selain sekadar menulis dalam blog ini. Itupun tak tahulah berapa keratkah agaknya yang mahu membaca blog ini. Maklum sahaja, yang menulis blog ini bukan Tun Dr. Mahathir yang meriuh-randahkan kem UMNO dan BN apabila beliau isytihar diri keluar parti. Isu yang diketengahkan ini pun bukanlah hangat sangat, berbanding isu politik tanahair seperti cerita sensasi konon berlaku lompat melompat dikalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat Ahli Parlimen terutama dari BN Sabah dan Sarawak. Cerita ini juga tidak sehangat cerita marah-marah Ahli-Ahli Parlimen Sabah yang begitu marah kerana walaupun negeri ini banyak menyumbang kerusi di parlimen kepada BN tetapi jumlah yang dilantik jadi menteri dalam kabinet Pak Lah tidak sebanyak negeri-negeri yang kalah.
Cerita yang saya utarakan dalam blog ini juga bukanlah satu berita segempar tragedi taufan Nargis di Mynammar dan gempa bumi di China. Apalah agaknya yang dihebohkan sangat. Berita ‘remeh’ ini tidak mampu menggamit perasaan dan tidak layak dimuatkan dalam program Bersamamu di TV3. Malah 2 kali saya menghantar melalui e-mel supaya akhbar The Daily Express memberi ihsan memuat rayuan ini dalam ruangan Hotline dan Forumnya agar dapat dibaca oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat kami tidak mendapat perhatian. Rintihan ini tiada nilai komersial. Sebelum itu saya juga telah menghantar sms kepada seorang wartawan akhbar itu yang kebetulan ada kaitan keluarga dengan saya supaya menyiasat perkara itu dan jika boleh disiarkan dalam akhbar agar mendapat perhatian dari pihak berwajib khususnya Wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen di Kinabatangan. Kerana saya tiada akses kepada ahli-ahli yang berhormat itu, apa lagi mereka sedang sebuk bersidang di parlimen dan juga DUN Negeri
Sedih berbaur bengang kerana Ahli Parlimen Sipitang, YB Datuk Hj. Sapawi Ahmad dan Wakil Rakyat Sindumin YB Hj. Ahmad Bujang boleh melawat dan menghulur bantuan segera kepada penduduk Kg. Tanjung Pagar, Sipitang yang juga menjadi mangsa kepada ribut kencang sebagaimana yang dialami oleh penduduk di kawasan Batu 8, Bukit Garam, Kinabatangan
Sedih bercampur iri hati kerana Wakil Rakyat di Kota Marudu secepat itu dapat menggerakkan jenteranya untuk membantu mangsa tragedi yang sama di kawasannya. Mungkin agaknya Kinabatangan terlalu asing dan terlalu jauh dan sukar untuk didatangi. Saya tak tahu bagaimana YB Saddi Abdul Rahman boleh sampai ke satu majlis rasmi di Dewan Sri Lamag selepas tragedi ribut kencang dimana beliau memberi penghargaan kepada mantan speaker DUN Sabah, Datuk Hj. Alban Sandukong. Mungkin agaknya beliau melalui jalan sungai yang menggambil masa paling cepat satu hari untuk sampai ke pangkalan Bukit Garam. Hakikatnya kawasan Batu Lapan sebenarnya adalah lokasi yang terletak ditengah-tengah lebuhraya Timur-Barat Sabah (Kota Kinabalu-Sandakan/Lahad Datu/Semporna/Tawau). Mungkin sebahagian kawasan yang terbabit tidak termasuk dalam kawasan mengundi DUN Sukau, tetapi rasanya apalah salahnya melawat tidak kira dimanapun berada, apatah lagi ia merupakan DUN berjiran dengan DUN Kuamut. Sayapun tidak tahu mengapa Wakil Rakyat Kuamut YB Masiung Banah yang baru dalam penggal pertama berkhidmat tidak dapat datang secara peribadi melihat penduduk yang menjadi mangsa bencana alam itu. Mungkin kerana baru, beliau belum tahu bagaimana hendak menjadi pemimpin kepada rakyat, terutama dikawasan yang rata-rata masih dibawah paras kemiskinan.
Terkilan juga kerana setiap hari saya membaca di akhbar dan pada malam harinya di berita TV mengenai usaha mengumpul wang tabung mangsa taufan Nargis di Mynammar dan gempa bumi di China. Tetapi, nasib anak watan di Batu 8, Bukit Garam, Kinabatangan ibarat orang asing di negeri sendiri. Ibarat ayam dikapuk mati kelaparan dan ibarat itek di air mati kehausan. Bukan prejudis kerana malapetaka tetap malapetaka walau dimana sekalipun ia berlaku dan walau siapapun yang terbabit. Kerana yang terlibat ialah nyawa manusia ciptaan Tuhan. Tetapi yang membuat saya terkilan ialah; kalau kita boleh menghantar bantuan kepada mangsa malapetaka di luar negara berjuta-juta ringgit, mengapa kita begitu sukar dengan pelbagai karenah birokrasi serta alasan untuk memberi bantuan yang tidakpun sampai sejuta ringgit. Betullah kata sesetengah pendapat. Malaysia adalah sebuah negara yang begitu prihatin dengan masalah menimpa rakyat negara jirannya dan sanggup berbelanja berjuta ringgit untuk menghantar bantuan. Tetapi untuk anak watan sendiri yang apabila ditimpa musibah pihak berwajib dan swasta melayannya ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak di riba mati kebuluran.’ Yang sedap dibaca dan didengara, sementara rakyat miskin di negeri ini (atau di negeri-negeri lain juga) bergelut dengan kesusahan bencana alam selain kemiskinan, berita mengenai 10 bilionaire di Malaysia menceritakan bagaimana kayanya mereka turut amat menyakitkan hati. Kalaulah 10 laksawan (bilionaire) itu menyumbang RM100-ribu ringgit seorang, sudah pasti jumlahnya ialah RM1-juta ringgit.! Tetapi sekali lagi, memberi bantuan kepada penduduk terpencil di Sabah ini tiada nilai komersial. Kalau tiada nilai komersial, takkan masuk akhbar. Dan kalau tak masuk akhbar pak-pak menteri tak nampak dan belum tentu mereka mendapat pelepasan cukai. Sikap orang berniaga ‘tiada untung tiada cerita.’ Kalau mereka hendak berbuat sesuatu mesti ada cerita ‘aku garu belakang kau, kau garu belakang aku.’ Dalam istilah Inggerisnya You scratch your back and I scratch your back atau dalam ertikata lain Win-Win Situation.
Sebagai anak sudah tentu naluri ingin membantu ibu adalah perkara nombor wahid dalam hidup saya, sebagai anak-anak yang lain walaupun barangkali tidak mampu. Tetapi dengan pendapatan bulanan yang tidak sebarapa dan ditambah pula dengan kos sara hidup yang kian hari semakin meningkat sudah tentu ia sesuatu yang sukar. Mengharapkan bantuan, khabarnya pegawai di jabatan kebajikan Kinabatangan memaklumkan adik-adik dan mak saya, setiap keluarg hanya boleh diberi bantuan RM300 sahaja bagi menggantikan kerosakan. Agak-agaknya, dalam keadaan harga barang yang semakin mahal sekarang, cukupkah untuk mencukupkan sekadar bumbung yang rosak.? Yang sedap didengar tu, semua mangsa-mangsa sudahpun membuat laporan polis atas arahan Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Latif Kandok. Tetapi, apabila mangsa-mangsa tadi membuat laporan kepada kepada jabatan kebajikan Kinabatangan, para pegawai di sana mengarahkan mereka untuk sekali lagi membuat laporan polis.? Apa bezanya laporan terdahulu itu dengan laporan kedua itu nanti.? Saya rasa polis pun akan bengang, berapa kali buat laporan untuk kes yang sama dan oleh orang-orang yang sama.?
Jadi untuk menghadapi semua kesukaran ini, mahu tak mahu terpaksalah saya mencuba nasib membuat pinjaman di Perbadanan Pinjaman Sabah. Maknanya, saya akan berhutang dan terpaksa membayarnya sehinggalah tamat tempoh perkhidmatan saya. Itu kalau lulus pinjaman, kalau tidak agak-agaknya dimana lagi hendak saya membuat pinjaman.? Takkan saya pergi membuat pinjaman kepada along dan lintah darat pula.? Bagi keluarga yang mempunyai anak atau ahli keluarga yang bekerja makan-gaji dan layak membuat pinjaman seperti saya, mungkin sebahagian kaedah penyelesaian boleh dibuat bagi mengatasi masalah itu. Kalau tiada, bagaimana.? Mungkin perkataan ‘tidak apa’ disini bolehlah diguna-pakai. Demi ibu saya yang sudah tua dan mengidap pelbagai penyakit ‘tidak apa’ lah. Mudah-mudahan Allah lanjutkan lagi usianya dan sihat walafiat lagi dan mampu untuk mengundi pada 4 atau 5 tahun dari sekarang
Kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat di Kinabatangan, tolonglah jenguk penduduk-penduduk di kawasan anda. Undi mereka telah menyumbang kepada beribu-ribu undi yang Yang Berhormat-Yang Berhormat perolehi semasa pilihanraya lalu. Dan kalaupun barangkali mereka itu pada hemat Yang Berhormat-Yang Berhormat adalah pengundi-pengundi Pakatan Rakyat atau calon bebas, jangan lupa raihlah undi mereka awal-awal bermula dari sekarang. Ingat, ‘Orang lapar kalau diberi makan pasti akan ingat tangan yang memberi makan.? Lawatlah mereka untuk meringankan bebanan perasaan mereka. Bagilah mereka sokongan moral dan semangat
Saya percaya kuasa dan jawatan Yang Berhormat-Yang Berhormat selaku Wakil Rakyat di Kinabatangan boleh mengubah keadaan dan tindakan. Keadaan yang saya maksudkan ialah, daripada bantuan yang sedikit mungkin mungkin boleh ditambahkan sedikit lagi. Tindakan yang saya maksudkan pula ialah, dari lambat kepada tindakan yang cepat. Halangan birokrasi boleh diketepikan dalam keadaan-keadaan tertentu. Sistem penyampaian (delivery system) seperti yang diharapkan dalam jentera pelaksana kerajaan boleh menjadi licin dengan campurtangan Yang Berhormat-Yang Berhormat.
Kepada Pegawai Daerah Kinabatangan, Encik Latif Kandok dan penolong-penolong pegawai daerahnya, betul-betul secara ikhlas kami mengucapkan terima kasih. Kerana orang pertama datang menziarahi mangsa-mangsa ribut kencang itu ialah para pegawai berkenaan. Malah beliau turut menawarkan tempat tinggal di rumah rehat kerajaan secara percuma. Anda dan para pegawai anda adalah contoh pegawai-pegawai kerajaan yang betul-betul bekerja untuk rakyat. Terima Kasih sekali lagi.
Kepada para pegawai jabatan kebajikan daerah Kinabatangan yang rata-ratanya penduduk kampung Bukit Garam dan saling ada kaitan kekeluargaan, saya mengucapkan terima kasih dalam keadaan terkilan. Kepada pihak swasta yang telah menjadi kaya-raya di kampung saya, terima kasih kerana anda semua menumpang di tanah bertuah ibarat ‘kacang lupakan kulit’ dan tahu mengaut keuntungan sahaja. Simpanlah duit anda dan dermakanlah kepada mangsa taufan nargis di Mynmmar dan gempa bumi di China. Anda tentu akan mendapat pujian kerana semua orang melihat ‘ keprihatinan, kemurahan dan kebaikan’ hati anda beramal di depan lensa kamera foto dan kamera TV. Kami anak-anak “Bigfoot’ di Bukit Garam akan ingat semua ini. Ada ubi ada batas. ada budi ada balas.